I made this widget at MyFlashFetish.com.

WAJAH-WAJAH MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR UiTM MALAYSIA SESI 2009/10

Tuesday, May 26, 2009

Jangan lagi Pertikai status UiTM

Berikut merupakan petikan akhbar utusan bertarikh 27 Mac 2009 yang perlu menjadi tatapan seluruh warga UiTM mahupun seluruh warga Malaysia:
Tuanku Mizan Zainal AbIdin dan Tuanku Nur Zahirah bergambar bersama Mohamed Khaled Nordin, Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah (kiri sekali), ahli-ahli Lembaga Pengarah UiTM dan para penerima ijazah kedoktoran selepas Istiadat Konvokesyen Ke-70 universiti itu di Shah Alam, semalam. - BERNAMA


Jangan lagi pertikai status UiTM
Oleh AZIAN AZIZutusanselangor@utusan.com.my


SHAH ALAM 26 Mei - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menitahkan semua pihak agar tidak lagi mempertikaikan status dan kedudukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk bumiputera.

Seri Paduka mengingatkan selama ini UiTM telah membuktikan keupayaannya sebagai antara pengimbang sosial utama dalam kalangan kaum di negara ini.
''Dengan keseimbangan inilah negara kita menjadi stabil dan makmur dalam pelbagai aspek.
''Oleh itu janganlah ada lagi pihak yang mempertikaikan status dan kedudukan UiTM ini," titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen Ke-70 UiTM yang menyaksikan seramai 13,881 graduan menerima diploma, Diploma Lepasan Ijazah, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah masing-masing, di sini hari ini.
Turut mencemar duli hadir ialah Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Tuanku Mizan turut menyarankan warga universiti agar terus meningkatkan martabat UiTM ke tahap tertinggi dalam apa sahaja bentuk penilaian sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Titah Seri Paduka yang juga Canselor UiTM, ini bersesuaian dengan slogan universiti tahun ini iaitu 'Pencapaian Bersama, Pengiktirafan Dunia.'
''Oleh itu semua kakitangan hendaklah memberi sokongan dan komitmen mutlak dengan penuh semangat setiakawan untuk memacu universiti ini lebih maju ke hadapan dan lebih gah serta dihormati.
''Bukan sahaja dari segi saiz, malah sumbangannya terhadap penerokaan ilmu demi kesejahteraan semua," titahnya.

Tuanku Mizan turut melahirkan rasa syukur kerana ketika dunia sedang menghadapi krisis ekonomi dan merebaknya virus influenza A (H1N1), negara masih stabil dan aman kerana semua rakyat bersatu di bawah pimpinan pemimpin yang bijaksana.

Bagaimanapun, baginda menasihatkan semua rakyat agar tidak lalai dan berpuas hati dengan apa yang ada sebaliknya sentiasa mencari jalan memajukan tamadun dan pemikiran bangsa.
''Beta juga menyeru kepada semua graduan agar gunakanlah, bukan sahaja ijazah tetapi yang pentingnya ilmu pengetahuan masing-masing untuk memakmurkan dunia ini dengan nilai-nilai murni kemanusiaannya.
''Kepada rakyat Malaysia yang belum mempunyai ijazah dan ingin melanjutkan pelajaran tak kira tua atau muda, beta nasihatkan agar rebutlah peluang untuk menuntut ilmu kerana menuntut ilmu itu tiada batasannya," titah Seri Paduka.

Tuanku Mizan mengakhiri titahnya dengan mendoakan UiTM dan para graduannya terus menjadi tonggak pembangunan bangsa serta menjadi benteng kukuh dalam mempertahankan agama dan kedaulatan negara.

1 comment: